Carousel Template

 


Sejarah Penubuhan JKR Malaysia

Menyingkap kembali sejarah awal pengwujudan sesuatu Kementerian sebenarnya lebih bertitik tolak kepada penubuhan jabatan-jabatan kecil pada zaman pemerintahan Inggeris khususnya apabila Inggeris memulakan campurtangan di Negeri-negeri Melayu selepas termeterainya Perjanjian Pangkor pada 17hb - 20hb Januari 1874.

Salah satu jabatan yang tertua diwujudkan oleh pemerintahan 'Crown Colony' sebelum Perjanjian Pangkor ialah 'Public Works Department' (PWD) atau kemudiannya dikenali sebagai Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ditubuhkan pada tahun 1872. Penubuhannya bertujuan untuk menyediakan infrastruktur bagi pembangunan sosio-ekonomi dan sistem politik kerajaan Inggeris di Negeri-negeri Selat yang terdiri daripada Singapura, Melaka, Perak (Dinding), Seberang Perai dan Pulau Pinang. Major J. FA Mcnair, bekas Jurutera Kolonial Negeri-negeri Selat adalah orang yang pertama dilantik mengetuai Jabatan Kerja Raya.

Pada tahun 1954, Kerajaan Inggeris telah mengambil langkah memisahkan pentadbiran Tanah Melayu (Malaya) daripada pentadbirannya yang berpusat di Singapura. Ini merupakan detik permulaan jabatan-jabatan kerajaan di Tanah Melayu dibenarkan melaksana polisi dan program masing-masing.

Pada tahun 1955, Pilihanraya Persekutuan yang pertama peringkat Majlis Mesyuarat Perundangan menandakan saat peralihan kuasa di antara rakyat tempatan daripada pentadbiran Inggeris sebelum proses kemerdekaan Tanah Melayu dilaksanakan. Parti Perikatan iaitu gabungan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Se-Malaya (MCA) dan Kongres India Se-Malaya (MIC) telah memenangi 51 kerusi dan Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) memperolehi satu kerusi.

Dalam tahun 1956, Ketua Menteri dan beberapa orang Menteri telah dilantik mengetuai Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun yang sama, beberapa kementerian telah diwujudkan termasuklah Kementerian Kerja Raya dengan nama asalnya Kementerian Kerja Raya, Pos dan Telekom. Y.B. Encik Sardon bin Haji Jubir adalah Menteri pertama yang mengetuai Kementerian ini. Fungsi dan tanggungjawab Jabatan Kerja Raya telah dikekalkan dan diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian ini. Pengarah Jabatan Kerja Raya pula bertanggungjawab kepada Menteri berhubung dengan perkara-perkara dasar Kementerian.

Pada tahun 1975, Kementerian ini telah disusun semula dan dinamakan Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan. Perkembangan pesat pembangunan dan sosio-ekonomi negara dalam tahun 1970an telah menyebabkan fungsi dan peranan Kementerian ini bertambah. Sesuai dengan peranan tersebut, pada tahun 1978 sekali lagi nama Kementerian ditukar kepada Kementerian Kerja Raya dan Kemudahan Awam. Walau bagaimanapun selari dengan pengkhususan tanggungjawab, pada tahun 1980an Kerajaan telah mengambil keputusan menamakan Kementerian dengan nama Kementerian Kerja Raya Malaysia dan nama itu kekal sehinggalah sekarang.

Sejarah Penubuhan JKR Pulau Pinang

Pulau Pinang telah ditakluki oleh Inggeris melalui kedatangan Kapten Francis Light dalam tahun 1786. Pulau Pinang dan Seberang Perai masing-masing telah diambilalih dari Sultan Kedah dalam tahun 1786 dan 1800. Sebelum pertubuhan JKR Pulau Pinang dalam tahun 1872, tanggungjawab kerja terletak dalam kuasa suatu Jawatankuasa Penilaian yang kemudian diganti pula oleh Suruhanjaya Perbandaran dalam tahun 1867. Perbandaran Pulau Pinang dan  Seberang Perai diwujudkan dalam tahun 1896 dan dengan itu JKR Pulau Pinang diwujud juga secara rasmi. Jurutera Resident yang pertama ialah Kapten J.H. Shatterthwaite, dibawah jagaan Mejar J.F.A McNair yang merupakan Jurutera Esekutif Negeri-negeri selat.

Pejabat pertama JKR Pulau Pinang telah ditempatkan di pejabat kerajaan, King Edward Place dari 1890 hingga 1948

Pada tahun 1948, JKR Pulau Pinang telah dipindahkan ke Lebuh Farquhar

Dalam tahun 1961, pejabat JKR Pulau Pinang dipindahkan ke Bangunan Tuanku Syed Putra sehingga tahun 1980an.


Dalam tahun 1980an, Pejabat JKR Pulau Pinang telah ditempatkan di KOMTAR sehingga Disember 2014.


Tanggal 15 Disember 2014 sehingga kini, Ibu Pejabat JKR Pulau Pinang telah berpindah ke bangunan baru di Jalan Sungai Pinang yang berhampiran dengan Pejabat JKR Setor, Pejabat Jurutera Daerah Timur Laut dan JKR Cawangan Kejuruteraan Mekanikal.

Pentadbiran JKR Pulau Pinang

JKR Pulau Pinang di bahagikan kepada 5 daerah iaitu:-
1. Daerah Timur Laut (DTL)
2. Daerah Barat Daya (DBD)
3. Seberang Perai Utara (SPU)
4. Seberang Perai Tengah (SPT)
5. Seberang Perai Selatan (SPS)

Secara umumnya mengetahui bahawa Negeri Pulau Pinang dibahagikan kepada 5 Daerah dimana 2 daerah di bahagian pulau manakala 3 daerah di tanah semenanjung (Seberang Perai). Bahagian pulau dihubungkan dengan tanah semenanjung (Seberang Perai) melalui Jambatan Pulau Pinang di Daerah Seberang Perai Tengah (Seberang Jaya) ke Daerah Timur Laut (Batu Uban) sepanjang 13 km, Jambatan Kedua Pulau Pinang di Daerah Seberang Perai Selatan (Batu Kawan) ke Daerah Barat Daya (Batu Maung) sepanjang 24km dan melalui perkhidmatan feri di Seberang Perai Utara (Butterworth) ke Daerah Timur Laut (George Town) masih diperuntukkan bagi pejalan kaki dan motosikal pada bahagian selat yang tersempit iaitu 3 km lebar.

Keluasan keseluruhan ialah 1030.74 km persegi; 292.45 km persegi terdiri dari  kawasan pulau dan 738.29 km persegi terdiri dari kawasan seberang.

Kesemua pejabat JKR di lima daerah berkenaan adalah dibawah pentadbiran JKR Pulau Pinang yang beralamat di Ibu Pejabat JKR Pulau Pinang, Jalan JKR, Sungai Pinang, 11600 George Town, Pulau Pinang.


 

Info Pantas

Laman Media Sosial Rasmi

facebook twitter youtube rss

 

Ibu Pejabat JKR Pulau Pinang
Jalan JKR, Sungai Pinang,
11600 George Town,
Pulau Pinang.